Hujan lebat dan angin kencang yang berterusan selama hampir dua jam hari ini menyebabkan pokok berkenaan tumbang dan menghempap kenderaan tersebut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian tersebut pada pukul 5.21 petang.

“Seramai tujuh anggota beserta sebuah jentera dan kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati kereta jenis Proton Iswara, Waja, Mini Cooper, Honda Ferio, Hyundai Atos, Perodua Kenari, Alza dan Bezza telah dihempap sebatang pokok besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khiruddin menambah, anggota bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pengalihan pokok tersebut di kawasan kejadian.

“Anggota bomba seterusnya bertindak memotong pokok yang tumbang dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengalihkannya.

“Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut,” ujarnya. - K! ONLINE