Mereka tiba pada pukul 11.24 pagi dengan menaiki trak polis diiringi beberapa anggota yang kemudian di bawa ke Mahkamah Majistret yang kesemuanya dilihat menutup muka menggunakan baju lokap.

Lima daripada mereka dijangka dituduh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Tiga lagi masing-masing didakwa mengikut Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara, Seksyen 151 Kanun Keseksaan kerana menyertai perhimpunan lebih daripada lima orang dan selepas perhimpunan itu diperintahkan bersurai serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, di luar mahkamah puluhan ahli keluarga dan rakan tertuduh dilihat mula berkumpul selain turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh.

Dalam kejadian awal pagi pada 26 November itu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah One City turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, diserang perusuh dan kini dilaporkan masih berada di dalam tahap kritikal namun stabil di Institut Jantung Negara (IJN). - K! ONLINE