Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, isu jumlah bekalan durian yang masih banyak di negara ini disebabkan kegagalan mematuhi piawaian eksport, tidak seharusnya timbul memandangkan aspek piawaian bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

"Tahun lalu harga durian mahal disebabkan pengeluaran yang kurang...yang mana kita jangkakan 10 peratus sahaja yang menjadi...berbanding tahun ini, hasil durian banyak, menyebabkan harganya lebih murah di pasaran.

Untuk eksport, kita tetap kena ikut piawaian...ada sistem kawalan dan bukan boleh eksport sembarangan, ada proses-proses tertentu yang perlu dilalui termasuklah mengemukakan sijil bagi membuktikan kualiti durian itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan sempena Program Jom Nikmati Buah-buahan Tempatan di Pusat Operasi FAMA Sungai Petani dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil durian yang bertambah sehingga menyebabkan durian yang sebelum ini dijual pada harga yang mahal, turut mengalami kejatuhan harga.

Ahmad berkata, kajian yang dijalankan FAMA menunjukkan berlaku peningkatan tiga kali ganda pengeluaran buah durian pada tahun ini, iaitu daripada 60,000 tan metrik tahun lepas kepada 180,000 tan metrik.

"Pengeluaran hampir serentak di seluruh negara, khususnya di negeri seperti Johor, Pahang, Perak, Kelantan, Melaka dan Kedah.
Bekalan banyak justeru harga durian menjadi lebih berpatutan sebagai perbandingan, purata harga runcit bagi Musang King (D197) pada bulan Julai tahun lalu ialah RM60-80/kilogram (kg) manakala bagi tempoh sama tahun ini, RM30-40/kg...turun separuh harga dan ini masa yang sesuai untuk menikmati durian sama ada yang biasa atau yang lebih baik," katanya.

Kata beliau, isu lambakan buah juga tidak timbul walaupun pengeluaran buah-buahan tempatan pada tahun ini, lebih banyak berbanding tahun lepas.

"Tidak timbul isu lambakan khususnya membabitkan lima jenis buah-buahan tempatan yang utama iaitu durian, rambutan, manggis, dokong dan cempedak, setakat ini tiada aduan namun pihak berkenaan boleh menghubungi FAMA untuk kita bantu jika buah-buahan mereka tidak dapat dijual," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, dianggarkan sebanyak 50 tan metrik buah-buahan ditawarkan di setiap lokasi penganjuran Program Jom Nikmati Buah-buahan Tempatan.

"Setakat ini program ini sudah dijalankan di 56 lokasi di seluruh negara dan ia sambutan amat menggalakkan  daripada orang ramai kerana ia bukan sahaja memberi peluang pengusaha untuk menjual serta kepada pengguna untuk membeli pada harga berpatutan," katanya. - Bernama