Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu menyebabkan Tabung Bayaran Balik GST setakat 31 Mei tahun lalu hanya mempunyai RM150 juta.

Jelasnya, seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Akauntan Negara dalam laporan PAC, RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk membuat pembayaran balik GST telah dibelanjakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

"Sedangkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengakui bahawa RM19.4 bilion masih lagi tidak dibayar akibat dana yang tidak mencukupi dalam Tabung Bayaran Balik GST,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, hanya sebahagian daripada kutipan GST iaitu kira-kira 35 peratus daripada jumlah kutipan GST telah dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik GST.

"Kutipan GST milik pembayar cukai yang dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan digunakan oleh kerajaan terdahulu untuk tujuan lain sekali gus mengakibatkan kelewatan dalam membayar balik bayaran balik GST," katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, Akta GST memerlukan kutipan cukai itu dimasukkan ke dalam Akaun Bayaran Balik GST bagi membolehkan bayaran balik GST dibuat dalam masa 14 hari bekerja.

"Akan tetapi, ini telah gagal dilakukan seperti yang diperuntukkan oleh Akta GST. Sebaliknya, kutipan GST telah dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan.

"Peguam Negara menyatakan amalan ini menyalahi prinsip asas undang-undang amanah dan keperluan perakaunan amanah, serta tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014," katanya.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, hasil siasatan PAC berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh JKDM di bawah Kementerian Kewangan, mendapati tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST.

Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad berkata, laporan berkenaan yang dibentangkan di Parlimen hari ini mendapati hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Sebelum ini, Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut dirompak semasa pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke PAC. - K! ONLINE