Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Mohd. Shaffari Marzuki berkata, bagi musim haji 1439H, seramai kira-kira 1,600 jemaah yang majoriti berumur 60 tahun dan ke atas telah mendapatkan rawatan pesakit luar di pusat rawatan dan klinik-klinik maktab setakat ini.

"Walaupun kebanyakan jemaah kita bersemangat tinggi, saya rasa kemampuan fizikal itu masih perlu dipertingkatkan terutamanya semasa mereka berada di tanah air lagi.

"Kekurangan latihan fizikal, ditambah dengan amalan pemakanan yang tidak betul, mengakibatkan kebanyakan jemaah haji cepat merasa penat dan mengalami sakit-sakit sendi dan lutut apabila menunaikan ibadah di sini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pihak Tabung Haji (TH) telah menekankan aspek kepentingan kesihatan fizikal, mental dan sosial semasa sesi-sesi kursus yang dianjurkan di tanah air, namun kebanyakan jemaah terutama yang berusia 60 tahun ke atas dilihat masih perlu mempertingkatkan aspek kesihatan fizikal.

"Kebanyakan jemaah yang berusia 60 tahun ke atas ini juga sudah ada penyakit seperti darah tinggi dan sebagainya, di samping tabiat merokok, menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penyakit terutamanya dengan keadaan cuaca yang panas.

"Di Malaysia lagi kami sudah tekankan kepada para jemaah, sekiranya mereka mempunyai masalah seperti kencing manis atau darah tinggi, ia perlu distabilkan terlebih dahulu dengan amalan sihat seperti berjalan kaki selama 30 minit sehari," kata Mohd. Shaffari. – Bernama