Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kerajaan melihat wujud keperluan utama untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan bagi tujuan tersebut.

"Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan pelajar-pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik bagi melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

"Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik dalam memastikan program matrikulasi KPM dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Maszlee berkata, KPM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik berhubung kos berikutan pertambahan jumlah pelajar itu.

"Jemaah menteri juga telah meminta KPM untuk menilai pendekatan strategik yang bersesuaian termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru bagi menampung pertambahan yang diputuskan ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Maszlee berkata, jemaah menteri juga memutuskan kuota 90 peratus untuk pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera turut dikekalkan.

"Ini selaras dengan visi asal program matrikulasi KPM bertujuan menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains," ujarnya. - K! ONLINE