Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata, kawasan yang mencatat IPU tidak sihat juga meningkat kepada lapan berbanding enam kawasan di negeri ini petang semalam.

"Lapan kawasan di negeri ini mencatat bacaan IPU tidak sihat antara 106 hingga 186 termasuk tiga kawasan di Miri iaitu sekitar Bandar Raya Miri, Sekolah Kebangsaan (SK) Baram 2 serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.

"Kawasan lain mencatat IPU tidak sihat ialah Sri Aman, Samarahan, Sarikei, Sibu dan Mukah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, 12 titik panas telah dikesan di Sarawak manakala di Indonesia titik panas dikesan paling banyak di Kalimantan iaitu 1,087 dan Sumatera 306 titik panas.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). - Bernama