Komander Selam dan Peperangan Periuk Api TLDM Pangkalan Lumut, Kapten Tay Yap Leong berkata, pihaknya telah memulakan operasi dengan dua pasukan penyelam ditugaskan untuk memantau ruang sekeliling permukaan kapal korek pasir JBB Rong Chong 8 yang terbalik itu. 

"Operasi itu dilakukan bagi mencari ruang pembukaan untuk membolehkan pasukan penyelam memasuki bahagian bawah kapal berkenaan. 

"Sekiranya ada ruang dan dipastikan selamat, pasukan penyelam akan masuk dengan segera untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan mangsa yang terperangkap," katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi SAR Pantai Leka hari ini. 

Menurut Yap Leong, arus kuat dan keadaan kapal yang terapung menyukarkan operasi tersebut selain kesukaran untuk membuka pintu kapal disebabkan tekanan air. 

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, usaha mengepam masuk udara bagi membolehkan kapal korek yang terbalik itu diapungkan sedang dilakukan oleh pihaknya, TLDM bersama enam penyelam profesional. 

"Proses SAR pagi ini dimulakan dengan proses mengepam udara bagi membolehkan penyelam TLDM masuk dalam ke kapal dari bawah. 

"Usaha mengikat tali pada kapal berkenaan di bawah permukaan turut dilakukan bagi memastikan kapal korek berkenaan kekal stabil berikutan keadaan laut yang bergelora," katanya. 

Dalam kejadian semalam, seramai 14 kru kapal korek pasir termasuk seorang pemuda tempatan berusia 25 tahun hilang selepas kapal tersebut terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa. - K! ONLINE