Dalam kejadian pada pukul 6 petang tersebut, kru bot yang berusia antara 25 hingga 45 tahun terbabit dikatakan berjaya menyelamatkan diri masuk ke dalam dek berkunci lalu bertindak menghubungi pasukan keselamatan.

Sebelum insiden, bot tunda itu dalam perjalanan dari Felda Sahabat dekat sini menghala ke Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, sebaik tiba di perairan Tambisan secara tiba-tiba seramai 10 lelaki yang tidak dikenali datang menghampiri dan menaiki bot tunda berkenaan.

Bimbang perkara yang tidak diingini berlaku, kru bot segera menghubungi pasukan keselamatan sehingga menyebabkan kumpulan penjenayah itu melarikan diri apabila menyedari kehadiran bot pasukan keselamatan.

Tiada kecederaan atau kehilangan barangan dilaporkan.

Sehubungan itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali menyarakan supaya semua kapal yang melalui perairan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) lebih waspada dan memaklumkan kedudukan pergerakan kepada Pusat Operasi Esscom bagi tujuan pemantauan keselamatan.

"Pada masa sama, ia memudahkan pihak Esscom membantu jika ada sebarang kejadian jenayah atau kecemasan berlaku di laut.

"Selain itu, kru kapal atau bot juga dinasihatkan agar mengaktifkan Sistem Pengesanan Automatik (AIS), melaporkan jadual perjalanan dan menggunakan panggilan kecemasan sekiranya berlaku sebarang insiden," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - K! ONLINE