Pengarahnya, Norwahidah Zainalibdin berkata, sebanyak 459 KRT dan 478 SRS di seluruh negeri ini perlu memainkan fungsi yang lebih besar bagi membantu kerajaan untuk memulihkan, menerangkan dan menenangkan rakyat berkaitan isu semasa yang dialami oleh negara.

"Tugas mereka (KRT dan SRS) menyemarakkan lagi aktiviti kemasyarakatan dengan menambah nilai perpaduan dan nilai-nilai murni kaum yang terdapat di negara ini khusus di Kelantan sendiri.

"Mereka juga perlu menjadi mata dan teliga kepada pihak berkuasa untuk menghidu bibit-bibit isu yang boleh membawa kepada ketegangan di negara, mereka menjadi orang tengah untuk kerajaan mendapatkan maklumat-maklumat supaya ia dapat diselesaikan dengan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas merasmikan Majlis Bersama Pengarah dan KRT Daerah Tanah Merah dan Machang yang dihadiri seramai 250 pemimpin KRT dari kedua-dua daerah terbabit di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norwahidah berkata, KRT dan SRS tidak hanya menjadi ejen untuk menyemarakkan nilai perpaduan bahkan mereka juga harus menjadi ejen kepada pihak berkuasa bagi mengatasi isu-isu lain seperti penyeludupan dan dadah.

"Mereka ketua dan pemimpin di peringkat akar umbi yang lebih mengenali kawasan mereka oleh itu peranan mereka dilihat berkesan untuk membantu pihak  berkuasa membanteras aktiviti yang jelas menyalahi undang-undang negara.

"Kita akan mempertingkatkan lagi kerjasama dengan  pihak berkuasa bagi mengatasi masalah ini sama ada melalui kerjasama pihak polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan sebagainya," katanya.

Katanya, bagi memperkasa peranan KRT dan SRS pihak JPNIN melakukan jelajah di setiap daerah untuk menyampaikan amanat kepada pemimpin komuniti itu.

"Kita mahu berdamping dengan mereka sampaikan amanat, berbincang perkara yang boleh membantu memperhebatkan lagi komuniti itu dalam membawa agenda kerajaan kepada rakyat," katanya. - Bernama