Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Ir. Zamri Yusuf berkata, pelaksanaan lima tindakan tersebut dijangka memulihkan bekalan air di 21 kawasan 'panas' seluruh negeri ini.

Menurutnya, pelan tersebut merangkumi pembinaan rumah pam dan penggantian paip baharu yang bernilai RM1.2 juta.

"Sebanyak 10 tindakan dirangka dalam pelan kontigensi bekalan air yang mana lima tindakan bakal siap sepenuhnya sebelum hari raya ini.

"Lima tindakan itu melibatkan pembinaan rumah pam di Padang Garam, Kuala Kedah; Pida 4, Tunjang; Taman Lembah Jerai, Gurun; Batu 8 Jeniang, Sik dan Kampung Kemunting, Kulim," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Kata Zamri, lima lagi langkah melibatkan projek sama akan dilaksanakan di Flat Setia Jaya di sini, Kota Kuala Muda; Bukit Kecil, Sungai Petani; Bendang Raja, Pendang serta Hujung Bandar, Sik.

"Baki lima langkah ini akan disiapkan dalam tempoh 100 hari seperti ditetapkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH)," ujarnya.

Menurut beliau, pembinaan rumah pam di lima lokasi awal itu bakal menyelesaikan gangguan bekalan air disebabkan masalah tekanan air rendah yang dihadapi lebih separuh daripada 2,800 akaun bermasalah.

"Bagi akaun selebihnya yang masih perlu dibantu pada hari raya nanti, kita akan sediakan bekalan air menerusi 24 lori tangki Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA)," katanya.

Keseluruhan akaun pengguna di negeri ini adalah sebanyak 587,000 akaun. - K! ONLINE