Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya akan memastikan kedai tersebut benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dengan menyediakan barangan pada harga yang lebih rendah berbanding kedai lain.

"KR1M 2.0 yang sekarang ini akan kita kekalkan sehingga kita jenamakan semula. Kami juga tak obses jenama kalau dulu KR1M, sekarang Harapan ke apa...tetapi niat sebenar kita meneruskan KR1M ialah untuk menyediakan barangan dengan harga yang kompetitif dan murah untuk rakyat berbelanja," katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Suhaimi Abdullah yang ingin tahu status KR1M selepas pentadbiran negara bertukar tangan daripada Barisan Nasional kepada PH.

Saifuddin berkata sehingga kini terdapat 51 buah KR1M 2.0  beroperasi di seluruh negara. - Bernama