Menterinya Dr. Maszlee Malik yang menzahirkan rasa sedih dan marah susulan pendedahan oleh Syed Azmi Alhabshi di laman sosialnya berhubung isu itu, menegaskan langkah-langkah sewajarnya akan diambil untuk membanteras gejala itu daripada berleluasa.

"Terima kasih @AmiKimmyatas usaha membongkar kes pencabulan oleh guru ini. Saya amat sedih dan marah apabila terjadi kes-kes sebegini dan berjanji pihak Kementerian Pendidikan Malaysia akan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan polis.

"KPM komited untuk memastikan hak kanak-kanak sentiasa dipatuhi dan keselamatan mereka terutamanya semasa berada di sekolah diutamakan oleh semua pihak lebih-lebih lagi oleh warga pendidik," katanya menerusi catatan di laman Twitternya hari ini. 

Beliau juga menegaskan anak-anak perlu dilindungi dengan sebaiknya di sekolah dan menggesa pihak guru, sekolah dan ibu bapa untuk tampil ke hadapan membuat laporan apabila timbulnya perkara seperti itu.

Syed Azmi, dalam catatannya mendedahkan perlakuan seorang guru yang didakwa melakukan pencabulan anak-anak di sekolah dengan yang terbaru melakukan perbuatan itu terhadap dua anak muridnya di sebuah resort kononnya ketika mengikuti kursus satu mata pelajaran, baru-baru ini.

Kes yang didakwa telah diketahuinya sejak April lepas itu bagaimanapun dikatakan melalui laluan sukar untuk dibawa ke muka pengadilan berikutan tiada sokongan sehinggalah dua murid berkenaan membuat pengakuan kepada ibu bapa masing-masing.

Susulan itu, dua laporan polis telah dibuat dan guru itu ditahan reman beberapa hari lepas. - Bernama