Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan itu diambil susulan laporan akhbar tempatan semalam mengenai pencemaran serius di Kuala Langat, Selangor yang dikatakan berpunca daripada kilang yang memproses plastik import secara haram. 

Selaras pembekuan itu, beliau berkata, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara terutama di Selangor diarah membuat pembersihan dengan mengenal pasti hanya kilang mendapat kelulusan KPKT dan melaksanakan pengurusan sisa plastik mengikut piawaian alam sekitar antarabangsa dibenarkan beroperasi. 

"Dalam tempoh tiga bulan itu, semua kilang yang dihentikan permit perlu membuat permohonan semula dengan kriteria baharu bagi memastikan tidak ada penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran piawaian berlaku," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini. 

Kriteria ketat dikenakan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk mana-mana kelulusan AP sisa plastik ialah pengimport perlu mendapatkan surat kelulusan pematuhan kilang daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan mempunyai lesen premis Pihak Berkuasa Tempatan. - Bernama