Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan mengesan premis perniagaan yang dipajak kepada peniaga warga asing oleh peniaga lain atau sebaliknya.

"Jabatan Imigresen boleh mengambil tindakan terhadap warga asing terbabit jika pemeriksaan mendapati mereka menyalahgunakan permit kerja untuk berniaga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai di sini hari ini.

Baru-baru ini akhbar melaporkan, Jabatan Imigresen mengesan terdapat segelintir warga asing yang dahulunya memonopoli industri pembinaan serta perkilangan sebagai buruh kasar kini telah beralih kepada sektor perniagaan sekali gus menyalahgunakan permit pekerjaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, lebih 8,903 warga asing diberkas menerusi Op Mega 2.0 bermula awal tahun ini sehingga melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang.

Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat pemeriksaan  terhadap premis perniagaan tetapi warga asing terbabit mengaku mereka hanya pekerja di situ dan pemiliknya adalah orang lain. – Bernama