Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Cawangan Operasi Khas) Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, senarai barangan bagi skim kawalan harga itu yang dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Sejumlah 22 barangan keperluan asas akan dikawal harga sempena skim kawalan harga perayaan Aidilfitri yang akan bermula tujuh hari sebelum dan berakhir lima hari selepas Aidilfitri.

"Penguatkuasaan skim kawalan harga ini bertujuan mengelakkan peniaga dan pekedai mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berkenaan, selain memastikan bekalan barangan terkawal itu mencukupi di pasaran," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan harga barangan sempena pelaksanaan sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula hari ini di pasaraya borong NSK di Taman Sentasa di sini, yang turut disertai Pengarah Kastam Selangor, Datuk Sarip Ismail dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam.

Sementara itu, Iskandar Halim berkata, pihaknya berpuas hati dengan kadar pematuhan pelaksanaan kadar sifar peratus GST di pasar raya tersebut setelah mendapati kesemua 90 barangan yang diperiksa mematuhi kadar itu.

"Kita juga minta peniaga ini meletakkan dua tanda harga berbeza pada barangan dijual iaitu sebelum dan selepas kadar sifar GST dilaksanakan bagi memudahkan pembeli membuat perbandingan harga," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihati pengguna supaya memeriksa resit setiap kali membuat pembayaran bagi memastikan peniaga mematuhi pelaksanaan GST pada kadar sifar. - Bernama