Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bekerjasama erat dalam memastikan perkara itu.

"Kita telah senaraikan sejumlah besar barangan yang disediakan untuk keperluan musim perayaan termasuk 800 juta telur ayam dan 27 juta biji kelapa. Kita beri jaminan bekalan makanan utama adalah mencukupi sepanjang musim perayaan dengan harga yang terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Ihya Ramadan Menteri KPDNHEP, Datuk Saifuddin Nasution dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA)  bersama warga Komuniti Pengguna Jajahan Tumpat di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi KADA Datuk Husam Musa dan Pengarah KPDNHEP Kelantan Adnan Abdul Rahman.

Pada program itu seramai 500 orang miskin dan kurang berkemampuan menerima sumbangan berupa barangan makanan asas termasuk tepung, beras, susu dan gula di program tersebut yang disumbangkan oleh pasaraya Econsave dan Speedmart.- Bernama