Dalam lawatan kira-kira sejam bermula 3 petang itu, Koroner Norsalha Hamzah ditemani Pegawai Pengendali inkues Yusaini Amier Abdul Karim dan J.G. Kameni.

Menerusi lawatan itu mereka ditunjukkan beberapa lokasi penting yang telah dijelaskan dalam sesi inkues sebelum ini oleh beberapa saksi di mahkamah koroner termasuk jalan yang digunakan oleh pelajar itu selepas didakwa mengambil telefon bimbit guru berkenaan.

Pada sesi lawatan itu, guru disiplin sekolah itu, Abu Salman Abdul Aziz telah memberikan penerangan terlebih dahulu berhubung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat sekolah berkenaan diikuti seterusnya ke bilik guru bagi menunjukkan lokasi sebenar telefon berkenaan sebelum didapati hilang.

Di bilik guru, Norsalha ditunjukkan bagaimana cara sekiranya seseorang pelajar memasuki bilik guru dan mengambil telefon itu seterusnya beredar yang hanya mengambil masa dalam 17 saat.

Seterusnya, koroner tersebut dibawa ke belakang bangunan bilik guru iaitu lokasi yang telah digunakan oleh pelajar yang mengambil telefon bimbit itu, iaitu jalan yang tidak dibenar digunakan oleh pelajar.

Rakaman CCTV menunjukkan pelajar itu melalui jalan tersebut dan seterusnya melalui tandas pelajar lelaki.

Sementara itu, Yusaini Amier ketika ditemui pemberita selepas lawatan itu berkata, tujuan lawatan ke lokasi kejadian adalah untuk mengetahui dengan lebih jelas akan apa yang digambarkan dalam keterangan diberikan pada prosiding inkues itu di mahkamah.

Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada 3.35 pagi, 1 Februari lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya.

Prosiding inkues akan bersambung Jumaat depan. - Bernama