Tertuduh, Muhammad Faizal Mat Ail, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Simpang, Taiping dekat sini didakwa meminta wang sebanyak RM2,000 daripada Shahrul Amri Abd. Rahim untuk memulangkan lesen memandu dan kad pengenalan lelaki itu.

Tindakan tersebut dilakukan oleh tertuduh untuk tidak merujuk Shahrul Amri yang merupakan seorang anggota tentera kepada Polis tentera.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di Taman Indah Pengkalan Aor, Simpang, Taiping dekat sini kira-kira pukul 3 pagi pada 12 September 2015.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah bersetuju menerima rasuah wang tunai sebanyak RM2,000 daripada Shahrul Amri sebagai dorongan untuk tidak memulangkan lesen memandu dan kad pengenalannya agar tidak merujuk lelaki itu kepada Polis Tentera.

Perbuatan itu dilakukan di Restoran Nasi Kandar A. Rahman dan sebuah kedai serbaneka di Jalan Pasar, Taiping dekat sini kira-kira pukul 4 petang pada 14 September 2015.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Faizal didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Seksyen 17 (a) (SPRM) 2009 untuk pertuduhan kedua.

Kedua-dua sekyen tersebut boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Indra Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh 4 April depan untuk sebutan semula kes. - K! ONLINE