Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan memberi pertolongan kepada syarikat Bumiputera yang hanya mahu mencari kekayaan dengan cepat tanpa berusaha melaksanakan kontrak yang diperoleh.

"Kalau seseorang itu mendapat kontrak, maka dialah akan melaksanakan kontrak itu. Kalau dijual atau dipindah kepada orang lain, maka kontrak itu akan terbatal. Minta maaf. 

"Kalau kita tidak ada kemampuan untuk melaksanakan kontrak itu, jangan cuba mendapat kontrak. Kalau niat kita hanya untuk menjual kontrak yang kita dapat maka kontrak yang kita jual itu tidak lagi sah, tidak lagi boleh dilaksanakan," katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan mendepani cabaran bumiputera dalam Malaysia baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta lebih 2,500 peserta kongres.

Mahathir berkata kerajaan PH juga akan memperketat amalan tidak baik yang dilakukan pihak tertentu untuk memperoleh keuntungan dengan segera, termasuk berhubung penjualan Permit Import (AP).

Menyatakan tidak ada berita gembira untuk disampaikan pada kongres itu, Dr Mahathir sebaliknya berkata akan berleter dan terus menegur orang Melayu dan Bumiputera supaya menukar budaya serta nilai hidup dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib sendiri.

Katanya tabiat ingin kaya dengan cepat dan mengharapkan bantuan kerajaan tidak akan membawa kejayaan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

"Selagi kita teruskan dengan cara begini, selagi itulah kita akan gagal, lebih-lebih lagi apabila kita diperkenalkan dengan cara mudah untuk kaya. Kerajaan mengumpul wang dan bagi percuma kepada kita seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan upah untuk nelayan yang tidak tangkap ikan. 

"Semua ini melemahkan kita kerana kita tidak lagi perlu berusaha kuat untuk mendapat sara hidup yang sebaiknya, sebaliknya kita menunggu wang datang melayang dan bergolek kepada kita," katanya. - Bernama