Sheila On 7 atau SO7 yang dianggotai oleh Duta, Erros, Adam dan Brian akan mempersembahkan 15 buah lagu termasuk single terbaharu berjudul Film Favorit.

"Ya, kami sudah bersedia. Harap fizikal juga dapat bertahan dalam konsert selama dua jam itu," ujar vokalisnya, Duta.

SO7 yang pernah mengadakan konsert di lokasi sama dua tahun lalu memberitahu kali ini mereka akan memberi sentuhan berbeza dalam persembahan konsert.

Antaranya mereka kini memiliki dua orang pengarah muzik iaitu Tomo Widayat dan Tama Wicitra.

"Selalunya semua hal difikirkan sendiri, tetapi pada usia band 22 tahun sudah tiba masanya untuk kami menyerahkan beberapa tugas kepada orang luar.

"Diharap dengan adanya pandangan orang luar daripada SO7 muzik kami akan kekal segar dan relevan. Mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan kami tidak tersasar daripada identiti sendiri dalam membikin muzik.

"Namun, Tomo dan Tama bukannya orang asing buat SO7. Mereka merupakan orang yang selalu dekat dengan kami dan menyaksikan perkembangan SO7 itu sendiri. Tomo juga akan bersama kami untuk konsert di Kuala Lumpur," kata Duta.

Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert SO7 pada pukul 8.30 malam ini anda masih sempat berbuat demikian.

Anda boleh mendapatkan  tiket berharga  RM 315 (Meet & Greet), RM215 (Diamond), RM165 (Platinum), RM125 (Gold) dan RM85 (Silver) menerusi laman web www.mytickets.asia.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut anda boleh hubungi talian 03-8605 0195/012 256 0082 atau layari laman web www.shirazprojects.com. - K! ONLINE