Beliau berkata, sejak 1 Januari 2005, kerajaan Malaysia menetapkan bahawa sijil tersebut diperlukan sebagai jaminan bahawa konsainan udang tersebut adalah bebas daripada bahan terlarang.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu lambakan udang galah murah di Malaysia yang tular di media sosial serta laporan media pada 13 Ogos 2018 yang didakwa menyebabkan gatal-gatal, badan bengkak, bengkak hidung, mata berair, cirit-birit serta muntah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus meningkatkan pemantauan ke atas produk tersebut di pintu masuk negara serta pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan selain bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Pada tahun 2017 sejumlah 183 sampel udang import telah diambil di pintu masuk negara manakala sejumlah 56 sampel udang import telah diambil di pintu masuk negara bagi tempoh Januari sehingga Julai 2018. Kesemuanya didapati mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya. - Bernama