Perdana Menteri berharap pembinaan bangunan tambahan itu dapat mengurangkan kesesakan pesakit di hospital yang telah berusia 129 tahun itu.

Menerusi lawatan mengejutnya ke Hospital Kajang pada 2015,  tanpa pengetahuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam, Najib berkata, beliau dapat melihat sendiri keadaan sebenar hospital tersebut.

"Apabila buat cara sebegini (lawatan mengejut) , saya dapat lihat keadaan sebenar, bukan keadaan yang disusun semasa dilawat perdana menteri.

Keadaan bangunan pun telah uzur. Bererti bangunan seperti ini perlu dilakukan tokok tambah gantian. Saya minta jika boleh dipercepatkan siap adalah lebih baik," katanya berucap melancarkan Majlis Pecah Tanah dan Projek Naik Taraf Hospital Kajang (Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak) di sini hari ini.

Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak itu dibina dengan jarak 800 meter daripada tapak hospital sedia ada melibatkan 272 katil, 14 bilik bersalin, enam bilik bedah serta kemudahan klinik pakar dan pusat rawatan harian. - Bernama