Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu yang akan mencapai usia genap 65 tahun pada 23 Julai ini dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 2.

Peguam Negara, Tommy Thomas akan muncul buat kali pertama dengan tugas baharunya dalam kes terhadap bekas perdana menteri itu selepas dilantik ke jawatan tersebut bulan lalu.

Difahamkan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Tuduhan itu dijangka dibacakan kepada Najib di Mahkamah Sesyen dan tidak ada pengakuan direkodkan daripada beliau. Pengakuan akan hanya direkodkan bila kes beliau dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di aras 4.

Dalam kalangan enam bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib adalah yang pertama menghadapi dakwaan jenayah. - K! ONLINE