Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan dalaman itu melibatkan tiga perkara dengan siasatan menyeluruh sehingga selewat-lewatnya 26 Julai ini.

"Siasatan dalaman itu akan menyiasat sama ada dakwaan berlakunya paksaan dalam penerimaan ubat perancang dalam kalangan Orang Asli.

"Kedua ialah mengenal pasti kelemahan dalam penyampaian program perancang keluarga dan yang ketiga ialah saranan penambahbaikan ke atas penyampaian program itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2019 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan pada minggu hadapan yang dianggotai oleh panel pemerhati yang dipengerusikan oleh Dr. Ayob Bah Los di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

"Kita ada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan untuk dipatuhi semua pengamal perubatan kami dalam program ini. Bagaimanapun, jika ada sebarang kekurangan (salah laku) saya memberi ruang kepada siasatan itu," katanya.

Beliau juga bersedia menerima sebarang kritikan dari luar dan sanggup berbincang dengan pihak aktivis yang terlibat dalam isu berkenaan.

Dzulkefly turut mengulangi pendirian KKM bahawa mendapatkan persetujuan yang sah adalah komponen penting bagi profesional penjagaan kesihatan dan pihaknya menghormati autonomi pesakit termasuk memilih atau menolak perancangan keluarga. 

Selasa lepas, lima wakil Orang Asli menyerahkan memorandum kepada kerajaan berhubung perkara itu. - Bernama