Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata aktviti pembalakan haram itu termasuk pengambilan kayu-kayan tanpa kebenaran.

Kementerian akan mencadangkan pemindaan Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu Akta 313 bagi memantapkan penguatkuasaan dari segi kadar denda, hukuman dan bidang kuasa kepada pusat serta kadar penalti tambahan untuk membendung dan membantaras kegiatan pembalakan haram yang merosakkan alam sekitar.

"Sehingga 31 Disember 2017, hutan simpan kekal di Semenanjung adalah seluas 4,811,226 hektar iaitu kira-kira 36.5 peratus daripada keluasan tanah di Semenanjung Malaysia. Keluasan hutan simpan kekal meningkat sebanyak 23,968 hektar atau 0.5 peratus bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2008 hingga 2017," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Chandra Mohan S. Thambirajah yang ingin tahu jumlah keluasan hutan simpanan sedia ada dan kadar kehilangan hutan sepanjang 10 tahun yang lepas akibat pembalakan haram.

Tengku Zulpuri Shah berkata, bagi menangani dan membanteras aktiviti pembalakan haram kementerian  menubuhkan pasukan penguatkuasaan "Elit Team" yang ditempatkan di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan menambah anggotanya daripada 50 ahli kepada 300 orang bermula tahun ini.

Kementerian juga akan meningkatkan aktviti penguatkuasaan seperti risikan, rondaan, kawalan hotspot, pemantauan melalui udara menggunakan helikopter dan teknologi dron, menubuhkan pasukan penguatkuasaan berpusat bagi penguatkuasaan bersepadu, membuka pusat kawalan kementerian di Pahang dan mewujudkan "war room" di pejabat Jabatan Perhutanan yang beroperasi 24 jam. - Bernama