Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.50 pagi.

“Sebanyak empat jentera dan 35 anggota dari BBP Ampang, Pandan Indah dan Keramat dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran yang semakin marak.

“Kebakaran membabitkan sebuah kilang kelas B iaitu separuh kayu dan separuh konkrit seluas 1,858 meter persegi dan api berjaya dikawal pada pukul 7.30 pagi sebelum padam sepenuhnya pada pukul 12.41 tengahari tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Ariff menambah, punca kebakaran masih disiasat dan material bangunan kilang yang hampir keseluruhannya daripada kayu selain bahan kimia dalam pewarna yang digunakan pada papan iklan menyebabkan api merebak dengan pantas.

“Pada mulanya kami bimbang akan kemungkinan api merebak ke kawasan perumahan berdekatan memandangkan kilang tersebut agak hampir dengan rumah-rumah penduduk, tetapi kami berjaya mengawal api daripada merebak.

“Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. - K! ONLINE