Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini termasuklah pelaburan bernilai US$20 juta (RM81.2 juta) dalam perniagaan pakaian dalam.

Bagaimanapun, katanya pelaburan dalam perniagaan dalam talian itu terpaksa dihapus kira.

"Selain itu, terdapat juga pelaburan bagi pengambilalihan bank melalui ekuiti swasta. Persoalan yang dibangkitkan adalah mengapa perjanjian ini tidak dibuat terus dengan bank tersebut?  

"Dan pada akhirnya, pelaburan itu dihapus kira yang melibatkan sejumlah RM3 bilion," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya kerajaan akan melihat kepada pendekatan yang berkesan dan memastikan Khazanah berada di landasan yang betul untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. 

Menjawab soalan anggota Parlimen Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada pembangunan agenda Bumiputera terus menjadi komponen Petunjuk Prestasi Utama 17 syarikat berkaitan kerajaan, Azmin berkata ia akan dipertahankan dan kerajaan mahu pengurusan Khazanah yang baharu dapat memastikan fungsi dan peranannya ditingkatkan dengan prinsip kebertanggungjawaban dan telus dalam pelaburan yang dibuat.

"Ini kerana pelaburan yang strategik dapat memberikan pulangan dan dividen yang baik dan dapat dikembalikan kepada rakyat untuk tujuan pembangunan ekonomi yang baik," katanya. - Bernama