Allahyarham, 53, yang merupakan calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak termasuk lima anak lelaki.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Allahyarham meninggal dunia pada jam 4 petang tadi selepas dimasukkan ke hospital itu pada 2 Jun lalu akibat serangan jantung.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan anggota keluarga mangsa, Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, sebelum ini, Allahyarham difahamkan sudah beberapa kali mengalami serangan jantung termasuk selepas berakhir PRU-14 apabila beliau menerima rawatan di hospital sama selama sebulan.

"Pas Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Wan Ahmad Tarmizi di atas pemergian tokoh pemimpin parti yang sangat berpengaruh itu.

 "Kehilangan beliau pastinya merupakan satu kehilangan besar kepada Pas Perak berikutan peranan penting dimainkan Allahyarham dalam memperolehi sokongan guru-guru Kafa di seluruh Perak melalui peranannya sebagai Presiden Persatuan Guru Kafa Perak sebelum ini," katanya ketika dihubungi.

Razman berkata, jenazah Allahyarham akan dbawa ke rumahnya di Desa Tanjung Murni, Chemor dan dikebumikan selepas solat Isyak.

Pada PRU-14, yang berlangsung pada 9 Mei lalu, Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Alor Pongsu untuk penggal keempat berturut-turut menerusi penyandangnya, Datuk Sham Mat Sahar daripada UMNO.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Sham mengalahkan Allahyarham dan calon PKR,  Ahmad Zaki Hussin dengan majoriti 1,162 undi. - Bernama