Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bagi mewujudkan suasana tersebut, rakyat dan pemimpin di setiap lapisan tidak boleh hanya memeluk tubuh dan mengimpikan kejayaan. 

Sebaliknya, titah Seri Paduka, usaha jitu perlu diambil bagi meruntuhkan apa juga benteng pemisah yang menjadi penghalang kepada perpaduan.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena Istiadat Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2019 yang disiarkan secara langsung di semua televisyen tempatan, malam ini.

Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong pada tahun ini disambut esok. 

"Hakikatnya bukan suatu yang mudah untuk menguruskan kepelbagian dan perbezaan yang wujud dalam sebuah negara. Ini kerana setiap sesuatu perkara akan cenderung untuk dilihat serta ditafsirkan dari sudut berbeza," titah Seri Paduka. 

Kerana itu, titah Al-Sultan Abdullah semenjak mengangkat sumpah sebagai Yang d-Pertuan Agong pada 31 Jan lepas, baginda telah berangkat ke setiap pelusuk negara untuk menyantuni dan mendekati rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan. 

"Melalui pendekatan ini, Beta mempelajari bahawa setiap rakyat Malaysia berperanan dalam menyumbang kepada pembentukan sebuah negara maju yang berdaulat dan merdeka.

"Sesungguhnya, perkara paling berharga yang Beta pelajari ialah setiap rakyat Malaysia sebenarnya sangat sayang dan cintakan negara yang bertuah ini," titah Al-Sultan Abdullah. 

Seri Paduka bertitah rakyat Malaysia telahpun mempunyai asas dan semangat perpaduan yang kukuh dan ia hanya perlu disemai dan dipupuk agar asas berkenaan menjadi kekuatan yang mampu menangkis segala rintangan. 

Bersempena dengan sambutan rasmi ulang tahun keputeraan kali ini, Yang di-Pertuan Agong mengajak pemimpin di setiap lapisan untuk mengetepikan perbezaan dan bersama-sama menyantuni rakyat dalam usaha untuk membentuk sebuah masyarakat yang harmoni dan bersatu-padu.

"InsyaAllah, Beta dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) akan terus menyantuni dan mendekati rakyat tanpa mengira pangkat, darjah, keturunan dan bangsa dalam mencapai visi penyatuan yang merupakan ramuan kesepaduan dalam membentuk masyarakat yang bertamadun," titah Seri Paduka. 

Seri Paduka menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta kekal berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. 

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas ucapan-ucapan tahniah dan doa yang telah disembahkan kepada Seri Paduka. 

"Beta percaya, sokongan dan ingatan rakyat serta pelbagai pihak kepada Beta menunjukkan bahawa amalan sistem Raja Berperlembagaan mempunyai peranan yang sangat signifikan kepada rakyat dan negara," titah Al-Sultan Abdullah. 

Mengakhiri titah, Seri Paduka turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, anggota pentadbiran, penjawat awam dan anggota keselamatan yang telah menyumbang kepada kesejahteraan negara. 

"Lebih istimewa, Beta dan Raja Permaisuri Agong ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menerima kunjungan Beta berdua dengan hati dan tangan terbuka. 

"Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman dan makmur, serta sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wataala," titah Al-Sultan Abdullah. - Bernama