Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi mengelakkan perkara itu daripada berulang dan sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti pelanggaran SOP itu. 

''Tindakan tegas akan diambil jika didapati berlaku sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai JKDM. Hasil pemantauan yang dilakukan mendapati trafik kembali lancar di laluan masuk Link Kedua, KSAB pada 7 Jun (semalam)," menurut kenyataan itu hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam berkata, punca kesesakan teruk di laluan masuk Link Kedua, KSAB adalah disebabkan kerja-kerja penurapan jalan dan menaik taraf kawasan menunggu Kompleks Kastam bermula pada 6 Jun lepas dan dijangka siap pada 17 Jun ini.

Katanya, disebabkan keadaan itu, semua lori terpaksa melalui satu lorong sahaja bagi tujuan pemeriksaan dan pelepasan Kastam.

Selain itu, sikap pemandu lori bermuatan dan lori kosong yang suka memotong barisan sehingga menghalang laluan kenderaan ringan dan bas penumpang turut menyumbang kepada kesesakan trafik. - Bernama