Kesemua mereka berada dalam kapal Al-Awda yang dirampas oleh tentera laut Israel ketika berada di kedudukan 49 batu nautika dari Gaza pada pukul 7.15 malam waktu tempatan semalam.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor berkata, kapal tersebut telah ditunda ke Pelabuhan Ashdod.

“Berdasarkan laporan terkini daripada bilik gerakan Misi JFP 2018, MyCare ingin mengesahkan bahawa kesemua ahli misi dan anak kapal Al-Awda termasuk Mohd. Afandi berada dalam keadaan selamat. Mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod.

“Tindakan merampas kapal Al-Awda dan membawa anak kapalnya masuk ke Israel secara paksa adalah satu rompakan dan penculikan,” katanya pada sidang akhbar khas berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat MyCare di sini sebentar tadi.

Kapal Al-Awda membawa bekalan perubatan bernilai RM61,000 dan misi tersebut bermula pada 21 Julai lalu dari Palermo, Itali menuju ke Gaza. - K! ONLINE