Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Malaysia di Khartoum sentiasa berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Sudan dan memantau situasi terkini di negara berkenaan.

"Pihak Kedutaan akan sentiasa memberikan bantuan yang diperlukan kepada semua rakyat Malaysia di Khartoum," menurut kenyataan itu.

Kedutaan Malaysia di Sudan juga mengesahkan beberapa tempat di Khartoum masih bergolak berikutan perkembangan terkini di negara tersebut.

"Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat Sudan dinasihatkan menangguhkan perjalanan mereka," kata kenyataan itu.

Semalam, Menteri Pertahanan Sudan, Ahmed Awad Ibn Auf mengumumkan, Presiden Omar al-Bashir digulingkan dan ditahan susulan tunjuk perasaan besar-besaran selama berbulan-bulan di ibu kota Khartoum.

Menteri Pertahanan Sudan itu dilaporkan mengangkat sumpah sebagai ketua majlis transisi di Sudan, hari ini.

Beliau juga mengisytiharkan darurat selama tiga bulan dan perintah berkurung sebulan. - Bernama