Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebaliknya pendekatan yang harus digunakan oleh kesatuan adalah bersandarkan kesederhanaan, toleransi dan kerjasama dalam perhubungan dengan majikan.

"Kesatuan sekerja perlu dinamik selaras tugasnya sebagai perantara antara pekerja dengan syarikat dan tidak boleh hanya menjadi juara pekerja dengan memberi desakan kepada majikan.

"Ini berikutan keperluan atau harapan majikan juga telah berubah dan lebih kompleks," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kesatuan Pekerja-pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Bhd. (UPUS), di sini hari ini.

Menurut Mahathir, peranan kesatuan perlu melangkaui peranan tradisi berikutan perubahan teknologi, automasi, robotik dan sebagainya yang sekiranya tidak ditangani segera mengakibatkan kemahiran pekerja jauh ketinggalan.

Justeru, beliau menegaskan kesatuan sekerja harus berkeupayaan untuk memahami perubahan itu supaya pekerja lebih berinovasi agar terus relevan.

"Di Pos Malaysia ini, saya difahamkan UPUS yang telah ditubuhkan sejak tahun 1959 menjadikan sebuah kesatuan tertua di Malaysia dengan keahlian hampir 7,000 orang.

"Tentunya, ia sebuah kesatuan yang dominan serta memainkan peranan mencorak keharmonian dalam perhubungan dengan syarikat," katanya. - K! ONLINE