Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan keputusan itu selepas menerima permohonan tarikh baharu daripada peguam tertuduh yang diwakili Shahlan Jufri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Arshad Masdin, 26, sebagai pengawal keselamatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah secara paksa menanggal dan mengoyakkan baju mangsa melibatkan seorang wanita yang berusia 18 tahun.

Kejadian dilakukan tertuduh di dalam bilik asrama pelajar terbabit di UMS pada pukul 12.30 tengah malam, 15 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendak disebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Sanip manakala tertuduh diwakili peguam Shahlan dan Mohd. Hafiz Lokman.

Rustam memberitahu mahkamah dokumen bicara telah diserahkan untuk prosiding bagaimanapun, pihak pendakwaan masih menunggu laporan penuh daripada jabatan kimia.

Pada 26 Julai lalu, Arshad diarahkan membayar ikat jamin sebanyak RM5,000 selepas tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan merogol mahasiswi UMS dalam kejadian pada Julai lalu.

Sementara itu, tujuh gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada alumni dan mahasiswa UMS giat memperjuangkan nasib mangsa dengan menuntut tindakan setimpal dikenakan terhadap tertuduh. - K! ONLINE