Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kenyataan pembukaan perbicaraan kes 1MDB Najib berkata, dokumen palsu dihasilkan kononnya sumbangan daripada Putera Arab Saudi.

"Antaranya adalah surat-surat dan empat cek, setiap satu berjumlah AS$25 juta yang ditulis oleh seseorang yang dikatakan penderma Arab. Tetapi cek-cek berkenaan bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.

"Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti yang menunjukkan tertuduh mengambi langkah aktif untuk mengelakkan keadilan. Beliau juga mengganggu perjalanan penyiasatan kes ini yang dikenali sebagai Skandal 1MDB.

"Beliau juga mengambil langkah aktif untuk menutup perlakuan jenayahnya. Pihak pendakwaan akan mengemukakan semua bukti ini untuk menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai mens rea (niat untuk jenayah)," katanya ketika membentangkan kenyataan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada hari pertama perbicaraan kes 1MDB Najib. - Bernama