Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kesemua lelaki berumur 19 hingga 24 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan iaitu merogol berkumpulan yang boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika disabit kesalahan.

Beliau berkata kesemua mereka kini sedang direman sehingga 1 Mac depan.

Katanya, kejadian  rogol itu berlaku pada pertengahan Dis lepas dan difahamkan, kesemua anggota tentera itu dari Kem Mahkota, Kluang ditahan selepas gadis berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kluang, kira-kira 8.50 pagi, Khamis lepas.

Difahamkan seorang daripada suspek merupakan teman lelaki gadis tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil menyatakan polis  menahan 129 individu kerana terlibat pelbagai kegiatan perjudian haram dalam 14 serbuan menerusi Op Limau di sekitar negeri ini mulai 9 Feb lepas hingga semalam.

Katanya, Op Limau yang diadakan bersempena perayaan Tahun Baru Cina itu bertujuan membanteras kegiatan perjudian haram habis-habisan di tempat bebas atau dalam bangunan.

"Daripada 129 individu itu, 101 daripadanya merupakan lelaki tempatan, 11 lelaki rakyat Indonesia, lapan lelaki Bangladesh, seorang lelaki Pakistan, tujuh wanita tempatan serta seorang wanita Indonesia yang kesemuanya berumur 21 hingga 62 tahun," katanya.  

Mohd Khalil berkata polis turut merampas keseluruhan wang tunai berjumlah RM114,656 dan barangan termasuk 64 keping kertas tercatat angka perjudian haram, 156 keping daun terup, 768 biji batu mahjung, 25 buah dadu serta tiga ekor ayam sabung. - Bernama