Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, strategi dan pelan yang dirangka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, PPH akan dianggotai oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd. Zahir dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

"Selain itu, anggota PPH ialah Governor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

"PPH juga dianggotai Akauntan Negara, Datuk Saat Esa, Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammad Abdul Khalid," katanya di sini hari ini.

Guan Eng berkata, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, PPH yang diwujudkan dipertanggungjawabkan untuk menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan.

Katanya, PPH ditubuhkan sebagai salah satu langkah dalam usaha berterusan kerajaan untuk mengatasi serta menyelesaikan masalah hutang dan liabiliti mencecah RM1 trilion sejak tahun 2017.

"PPH akan memantau penerbitan hutang oleh kerajaan persekutuan, badan berkanun dan syarikat tujuan khas (SPV) secara holistik.

"Kerajaan berhasrat untuk mengelakkan berlakunya bayaran khidmat hutang yang lebih tinggi akibat kelemahan koordinasi dalam penerbitan pinjaman," katanya.

Tambah Guan Eng, PPH bertujuan mengawal hutang kerajaan agar tidak terus hilang kawalan dan memastikan pinjaman hutang secara sesuka hati tanpa sebab munasabah tidka berulang lagi.

Jelasnya, PPH adalah di antara reformasi institusi yang akan memantapkan sistem kewangan dan fiskal kerajaan yang dilihat penting oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa.

"PPH akan menjalankan beberapa langkah antaranya menjadualkan terbitan bon dan pinjaman kerajaan, syarikat-syarikat milik kerajaan serta badan-badan berkanun secara teratur untuk memastikan kadar kupon dan faedah paling rendah.

"Ia juga akan menstruktur semula bon-bon dan pinjaman di mana kos pembiayaan dapat dikurangkan untuk menjimatkan peruntukan pembayaran balik hutang selain merancang strategi bagi mengurangkan beban hutang kerajaan pada masa depan," katanya. - K! ONLINE