Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata pembinaan bahagian itu agak ketinggalan, oleh itu kerajaan akan siasat ke mana perginya wang yang banyak ini yang sepatutnya sudah menghasilkan  kemajuan pembinaan yang ketara.

Beliau berkata, walaupun demikian, kerajaan tetap komited untuk meneruskan pelaksanaan pembinaan lebuh raya itu sekalipun mungkin terlewat daripada sasaran awalnya.

Katanya, selain itu kerajaan juga ketika ini berhasrat untuk mencari jalan supaya laluan lebuh raya itu tidak perlu merentasi negara Brunei bagi mengelak proses berkaitan imigresen, dan untuk melancarkan perjalanan antara Sabah dan Sarawak. 

"Jalan yang nak masuk (merentasi) Brunei sudah ada. Tak ada masalah tapi kalau dapat kita nak elak supaya dapat jalan terus (tanpa melalui kawasan Brunei)," katanya dalam persidangan media di Istana Qashr Munee di sini hari ini, hari terakhir lawatan rasmi dua hari beliau ke Brunei. - Bernama