“Kita bersetuju supaya mereka, anak muda yang berusia 18 tahun berhak mengundi dan akan didaftar secara automatik,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.

Sebelum ini, bacaan pertama Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas sesi soal jawab Dewan Rakyat Selasa lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, pembangkang hanya akan menyokong pindaan Perkara 119(1) jika ia termasuk dua perkara itu yang dicadangkan mereka iaitu warganegara berusia 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pengundi dan menurunkan had usia calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Sementara itu, Syed Saddiq ketika ditemui memberitahu, kerajaan akan berbincang mengenai hal ehwal teknikal untuk menurunkan had usia mengundi bersama semua pemimpin parti politik pada Rabu ini.

Jelasnya, kerajaan juga mahu membincangkan perkara itu dalam sidang Dewan Rakyat agar dapat bersedia untuk pelaksanaan penurunan had usia mengundi pada masa depan.

“Kita perlu berterima kasih kepada pembangkang kerana sikap ambil berat dan pandangan mereka daripada tidak setuju kepada setuju dengan usul itu.

“Saya telah membangkitkan syarat yang ditetapkan oleh pembangkang kepada kabinet serta  Majlis Presiden Pakatan Harapan. Dengan itu, kita berjaya mendapat persetujuan untuk menurunkan had usia pengundi dan calon kepada 18 tahun serta pendaftaran mengundi secara automatik,” ujarnya. - K! ONLINE