Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, buat masa ini, hanya terdapat 19 pusat latihan, 112 pejabat daerah dan 55 unit APM di seluruh negara.

"Terdapat daerah yang belum mempunyai pejabat dan dalam masa terdekat, kita akan pastikan setiap daerah mempunyai pejabat atau sekurang-kurangnya unit," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) mengenai inisiatif kerajaan dalam menyediakan bangunan sendiri kepada APM.

Sementara itu, Shahidan berkata, kerajaan mempunyai aset yang cukup khususnya dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menampung keperluan ketika banjir.

Katanya, langkah memindahkan mangsa sebelum berlaku banjir juga dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda berbanding perpindahan semasa banjir. - Bernama