Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penggubalan akta itu dijangka dapat merapatkan ketidaksamaan gender yang wujud antara wanita dan lelaki dengan memasukkan prinsip Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dalam undang-undang Malaysia.

"Fenomena seperti penglibatan yang rendah dalam kalangan wanita di peringkat kepimpinan, stereotaip dan pengasingan pekerjaan dalam bidang profesional, gaji tidak seimbang, hierarki wanita dalam masyarakat dan sebagainya akan dapat ditangani dengan penggubalan akta ini,"  katanya semasa waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) mengenai perkembangan dan tindakan kementerian dalam menggubal Rang Undang-Undang Kesaksamaan Gender. 

Rohani berkata, undang-undang itu akan membantu menghapuskan diskriminasi dan menegakkan kesaksamaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - Bernama