Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata, pihaknya sebelum ini hanya mengkritik tentang lambakan rakyat China yang datang ke Johor untuk mengambil kesempatan terhadap kekayaan negara.

"Lambakan dan penarikan modal (pelaburan) adalah dua perkara yang berbeza.

"Kita menarik pelabur tidak kira apa bangsa sekali pun. Kalau China boleh datang ke sini membawa duit untuk membuat pelaburan yang memberi manfaat dan faedah untuk kemakmuran negeri dan negara, kenapa perlu kita halang?

"Kita tidak pernah cakap pun yang kita hendak sekat. Ini parti pembangkang yang suka 'spin' (memutar belit) . Itu sahaja. Dia tidak ada modal lain," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Gerak Kerja Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030 di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Md Shah baru-baru ini bahawa kepimpinan PH seakan-akan lupa mereka sebelum ini adalah penghalang utama kepada kemasukan pelaburan dari China.

Mohd Hairi mendakwa PH pernah menyelar kerajaan BN sedang menggadai dan menjual negara kepada China kerana membenarkan pelbagai pelaburan China ke Malaysia.

Mohd Hairi berkata demikian susulan pengumuman kerajaan negeri minggu lepas bahawa ia berjaya menarik pelaburan baharu bernilai USD400 juta dari dua syarikat dari China. - Bernama