Perdana Menteri berkata, negara akan berdepan masalah yang sangat besar jika kerajaan menggunakan wang yang dipinjam atau 'dicuri' untuk menunjukkan bahawa kerajaan ini adalah bertimbang rasa.

"Kita dapati seolah-olah rakyat dapat sebuah kerajaan yang tidak bertimbang rasa seperti kerajaan terdahulu. 

"Sebenarnya kita bertimbang rasa tetapi kita juga berusaha untuk keselamatan negara secara keseluruhannya terutama keselamatan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan bersama Perdana Menteri Sesi 2 Tahun 2019 di Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar.

Majlis bertemakan Perkhidmatan Awam Malaysia: Peneraju Pembaharuan, Penggerak Perubahan Negara itu disertai kira-kira 1,500 pegawai-pegawai kerajaan terdiri daripada gred 41 hingga 48.

Ia turut menyaksikan penyerahan Laporan Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri Sesi 1 dengan pegawai kerajaan gred 52 hingga Jusa/ Khas C yang telah diadakan 30 April lalu. 

Dalam pada itu, Mahathir berkata, kerajaan juga tidak boleh membelanjakan wang yang banyak untuk tujuan operasi kerana ia akan menyebabkan negara tiada duit mencukupi untuk sektor pembangunan.

"Apabila kita tiada duit mencukupi untuk tujuan pembangunan, maka kita akan pinjam wang sekali gus menyebabkan kewangan negara mengalami defisit yang banyak," katanya. - K! ONLINE