Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata, langkah itu antara inisiatif bagi menambah pendapatan dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

"Kita tahu perniagaan atas talian atau perniagaan online ini setakat ini tidak dikenakan apa-apa cukai, jadi ini juga sedang kita lihat untuk diambil cukai daripadanya," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara hari ini. 

Jika dilaksanakan, beliau menjangkakan pengenalan cukai itu tidak memberi kesan besar kepada harga produk yang ditawarkan kerana syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian tidak mempunyai kos overhed yang tinggi.

Inisiatif lain yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negara adalah melakukan penambahbaikan pengauditan dan pematuhan cukai serta mengurangkan jurang cukai yang akan memastikan pihak yang dikenakan cukai membuat pembayaran cukai.

Kerajaan juga akan menyemak semula insentif cukai sedia ada yang diberikan kepada syarikat bagi memastikan impak yang minimum kepada pengurangan hasil kerajaan.

"Memang banyak insentif dan tax holiday yang kita berikan kepada syarikat dan sebagainya untuk memastikan mereka berkembang dan dapat memberikan sumbangan kepada ekonomi negara dan ini mungkin kita akan semak semula, yang mana baik, kita teruskan," katanya.

Sementara itu, Amiruddin berkata kerajaan kehilangan hasil pendapatan sebanyak RM11 bilion bagi tempoh tiga bulan iaitu Jun, Julai dan Ogos ketika kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) disifarkan.

Katanya anggaran itu berdasarkan unjuran kutipan cukai itu sebanyak RM44 bilion setahun atau purata RM3.65 bilion sebulan. - Bernama