Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Yoong Choo Kiong berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan pihaknya bersama 15 PBT berkenaan hari ini. 

"Orang ramai seharusnya menggunakan peluang ini untuk menjelaskan kompaun yang tertunggak kerana pengurangan yang ditawarkan adalah sangat tinggi," katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama 15 Yang Dipertua (YDP) PBT seluruh Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini. 

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyeragamkan sistem penggunaan kupon letak kereta bagi seluruh negeri mulai 1 Januari tahun depan.

Katanya, sistem berkenaan akan membolehkan orang awam menggunakan kupon sama untuk mana-mana parkir terbuka yang terdapat di seluruh negeri.

Selain itu, Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh turut mengumumkan setiap PBT akan mengadakan program turun padang sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan bertujuan mengetahui secara lebih dekat masalah dan isu yang melingkari rakyat di sesuatu kawasan. 

"Kita akan lakukan perjumpaan pada pertengahan dan akhir bulan bertujuan untuk memahami masalah rakyat di samping memantau serta menyelia projek-projek yang diluluskan," katanya. - Bernama