Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek PR1MA yang membabitkan pembinaan 957 unit kediaman menelan kos kira-kira RM232 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada 2020 itu dibina khusus untuk penduduk Teluk Intan yang mempunyai pendapatan sederhana (M40).

"Kerajaan sedar akan permintaan dan keperluan rakyat di Teluk Intan yang mahukan lebih banyak projek perumahan mampu milik seperti PR1MA ini dibina di kawasan ini.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, hari ini kita bina hampir 1,000 rumah mampu milik kepada warga Teluk Intan yang akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan komuniti pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris apabila siap sepenuhnya pada 2020 kelak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmia pada Majlis Pecah Tanah PR1MA Teluk Intan di Batu 4, Jalan Changkat Jong di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap penyandang Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Abdul Mutalib Alias. - K! ONLINE