Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata pihaknya akan meminta penasihat undang-undang negeri untuk melihat perkara itu termasuk mengenakan kompaun yang tinggi kepada kontraktor yang didapati tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

"Di Selangor umpamanya mereka mempunyai kuasa, PBT boleh mengenakan kompaun sehingga RM250,000 ke atas kontraktor-kontraktor yang tidak mengikuti Pelan  Kawalan Hakisan dan Mendapan.

"Tapi di Pulau Pinang kita tak ada kuasa tu, ia hanya undang-undang kecil. Kami perlukan lebih kuasa. Pada masa ini mungkin tidak mempunyai cukup taring, taring tak cukup tajam. Mungkin ini juga yang perlu kita lihat," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong dekat sini, hari ini.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala tiga lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir P. Pinang, Zairil Khir JohariPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir P. Pinang, Zairil Khir Johari 

 

Petang semalam dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35, manakala mayat Khin Aye Khaing, 33, wanita Myanmar ditemukan pukul 1.30 pagi ini dan mayat keempat Bahtiar, 36, lelaki Indonesia ditemukan pada 11.55 pagi.

Zairil berkata kerajaan negeri perlu lebih proaktif dalam melakukan pemantauan terhadap pembangunan di lereng bukit bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sehingga membabitkan kemalangan jiwa berulang.

"Kita mungkin kena fikirkan bagaimana cara yang kita boleh lakukan pemantauan yang lebih. Sebagai contoh kita ada Ops Lumpur.  Ia adalah satu pasukan petugas khas yang membuat 'spot check', tapi ini bukan untuk lereng bukit. Ops Lumpur ini untuk melihat kepada aliran air, mungkin hakisan tanah yang mungkin mengakibatkan banjir dan sebagainya, ini sebenarnya di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Antara mangsa yang maut (kiri) dan terselamat dalam kejadian tanah runtuh ditapak pembinaan Paya TerAntara mangsa yang maut (kiri) dan terselamat dalam kejadian tanah runtuh ditapak pembinaan Paya Terubung ke Relau semalam. Foto ihsan Bomba

 

"Kita tak melihat kepada ketidakupayaan cerun dan sebagainya tapi mungkin kena ada satu pasukan yang khas untuk membuat 'spot check' dalam projek-projek membabitkan lereng bukit. Mungkin ini yang perlu kita buat dan pertimbangkan," katanya.

Beliau berkata jika diikutkan setiap projek mempunyai jurutera yang bertanggungjawab untuk memantau keadaan dan perjalanan kerja di tapak pembinaan.

"Sepatutnya sebagai jurutera bertauliah yang letak 'signature' ke atas dokumen, tanggungjawab dia untuk memastikan dalam site semua mengikut prosedur operasi standard dan sebagainya. Tapi untuk kejadian tanah runtuh ini kita tak tahu lagi sebab, kita tunggu hasil siasatan," katanya. - Bernama

Pihak berkuasa menjalankan siasatan di kawasan sekitar tanah runtuh ditapak pembinaan Paya TerubungPihak berkuasa menjalankan siasatan di kawasan sekitar tanah runtuh ditapak pembinaan Paya Terubung ke Relau semalam. Foto Bernama