Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata pihaknya dimaklumkan terdapat tiga pelajar MRSM  berkenaan menerima rawatan di Hospital Taiping sejak  12 tengahari tadi kerana mengalami gejala keracunan makanan.

Beliau berkata dua daripadanya telah dibenarkan pulang setelah sejam menerima rawatan, manakala seorang lagi pelajar masih dirawat di wad pemerhatian.

"Saya difahamkan terdapat lebih 20 pelajar berumur 16 hingga 17 tahun mengalami simptom keracunan makanan sejak awal pagi tadi dipercayai selepas menikmati sarapan di dewan makan sekolah itu.

"Sebahagian daripadanya dihantar ke Klinik kesihatan berdekatan bagi menjalani rawatan pesakit luar dan hanya tiga daripada mereka  dihantar ke hospital untuk rawatan susulan," katanya kepada pemberita selepas melawat pelajar terbabit di Hospital Taiping di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata pihak hospital  memaklumkan ketiga-tiga pelajar terbabit diberi rawatan memasukkan air ke dalam badan. 

"Kita belum dimaklumkan mengenai punca sebenar keracunan makanan dan adakah pengusaha dewan makan asrama yang sama turut terlibat. Kita masih menunggu laporan penuh daripada kesemua pihak terlibat," katanya.

Abdul Aziz berkata kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  meletakkan standard kebersihan penyediaan makanan yang perlu dipatuhi pengurusan setiap sekolah.

"Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu mengambil tindakan susulan bagi mengelakkan kes keracunan makanan di MRSM Taiping tidak lagi berulang kerana pentadbiran MRSM bukan bidang kuasa kerajaan negeri.

"Bagi saya, semua pengurusan sekolah perlu menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan penyediaan makanan kepada para pelajar, tidak kira sama ada sekolah berasrama atau sekolah harian," katanya.

Pada 12 Julai lalu, 31 pelajar MRSM sama mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati hidangan daging masak lada hitam di dewan makan asrama sekolah itu. - Bernama