Semalam, Tesco Senawang dan kerajaan Negeri Sembilan menyumbangkan makanan kepada petugas SAR susulan timbul laporan mengenai kekurangan makanan buat petugas di kawasan berkenaan, dan hari ini MR.D.I.Y Trading Sdn. Bhd. (MR. D.I.Y), peruncit perkakas rumah terbesar Malaysia, turut melakukan perkara sama.

MR.D.I.Y cawangan Seri Kembangan, Selangor, menyumbang 63 kotak air mineral dan 13 karton biskut kepada pasukan operasi SAR yang disampaikan oleh Penolong Pengurusnya, Mohd. Sufian Mat Zin kepada Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar. 

“Ini tanggungjawab sosial korporat syarikat dan diuruskan pagi tadi sebelum dihantar terus ke lokasi. Selepas ini, jika ada apa-apa lagi diperlukan, kita akan bantu,” kata Mohd Suffian kepada pemberita di sini hari ini.

Selain Tesco, kerajaan negeri dan MR.D.I.Y, turut memberi sumbangan kepada sumbangan kepada petugas SAR ialah Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan individu. 

Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran, dilaporkan hilang selepas tiba bersama keluarganya pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pagi Ahad. - Bernama